918 BANDUAN DADAH TELAH DIHUKUM MATI

KUALA LUMPUR – Seramai 918 banduan bagi kesalahan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya1952 telah dihukum gantung mandatori di negara ini setakat 11 Ogos tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, daripada jumlah itu 472 orang merupakan rakyat Malaysia manakala selebihnya warga asing.

Menurutnya, rakyat warga Nigeria mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 111 orang yang telah dihukum mati di negara ini.

“Saya tahu masalah kes 39 (B) Akta Dadah Berbahaya ini merupakan satu perkara yang menarik minat atau perhatian seluruh masyarakat lebih lagi daripada rekod yang kita ada bahawa hukuman mati yang telah dijatuhkan setakat ini adalah 918 orang.

“Secara keseluruhan 1,324 banduan telah dihukum mati atas pelbagai kesalahan yang mana sebahagian besar adalah membabitkan 39(B),” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) jumlah banduan 39 (B) telah dihukum mati dan bila kerajaan akan membuat cadangan untuk memansuhkan hukuman itu.

Sementara itu, mengulas soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mengenai kegusaran dengan peningkatan kes banduan 39 (B) yang dihukum gantung mandatori, Takiyuddin berkata, kerajaan memandang serius perkara itu.

Katanya, meskipun kebanyakan kes membabitkan warga asing namun kes membabitkan rakyat Malaysia juga amat membimbangkan.

PROGRAM LA21

PEMADAM menyokong agenda pembangunan mampan Abad 21. Program Local Agenda 21(LA 21) yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah dimanfaatkan oleh PEMADAM Kuala Lumpur. Pada 4 – 5 Julai & 25 – 26 Julai 2020 Di Dewan Harapan, Ibu Pejabat PEMADAM Kebangsaan, telah dilaksanakan Bengkel Train Of Trainer Program Jahitan Creative Upcycle 2020 Ke Arah Meningkatkan Kemahiran Jahitan Di Kalangan Komuniti Setempat. Program ini telah melatih 30 orang Ahli PEMADAM Kuala Lumpur. Program ini anjuran bersama PEMADAM Kuala Lumpur, LA21 DBKL dengan kerjasama Syarikat Mostwell Sdn Bhd pemilik Pusat Latihan Kraftangan Epal serta Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia.

EMPAT REMAJA BAWAH UMUR DITAHAN SERTAI PARTI LIAR

KUALA LUMPUR: Empat pelajar sekolah menengah berusia antara 15 hingga 17 tahun antara 34 yang ditahan kerana menyertai parti liar dalam serbuan polis ke atas sebuah kondominium di Jalan Bukit Bintang di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan enam wanita berusia antara 15 hingga 40 tahun.

 

“Salah seorang yang ditangkap adalah pelajar sebuah kolej swasta dan empat pelajar sekolah menengah.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati 21 daripadanya positif pelbagai jenis dadah antaranya Amphetamine, Methamphetamine, ganja dan Benzodiazepine,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, seramai 13 orang yang didapati negatif penggunaan dadah kemudian dibebaskan tanpa syarat manakala 21 ditahan kini direman untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Sumber : Berita Harian