SINGAPURA: Republik ini menentang keputusan Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin untuk mengeluarkan ganja untuk kegunaan perubatan dari senarai dadah berbahaya.
Undian menyaksikan 27 daripada 53 negara anggota Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) mengundi untuk menyokong keputusan PBB itu.
Singapura yang hanya menandatangani bagi mengiktiraf konvensyen kawalan dadah antarabangsa, tidak dikira sebagai anggota CND dengan hak mengundi.
Wakil Tetap Singapura ke PBB, Umej Bhatia, berkata wujud kekurangan bukti kukuh bagi menyokong syor CND, terutama mengenai keselamatan dan keberkesanan ganja serta bahan membabitkannya untuk tujuan perubatan.
“Namun syor berkenaan masih diterima dan diluluskan walaupun banyak dipertikaikan dalam kalangan negara anggota CND.
“Ini juga secara jelas bercanggah dengan dasar Singapura mengenai dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Dalam Negeri (MHA), dalam satu kenyataan, berkata Singapura kecewa dengan keputusan itu, sambil menambah tiada bukti kukuh untuk menyokong cadangan berkenaan.
Ganja dijadualkan di bawah Jadual IV Konvensyen Tunggal 1961 bagi Dadah Narkotik bersama heroin.
Singapura bersama 28 negara ahli lain mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa penerimaan syor itu tidak boleh dilihat sebagai sokongan kepada penggunaan ganja atau membawa kepada kelonggaran kawalannya.
“Penerimaan syor ini akan menghantar isyarat salah bahawa CND mempunyai pendirian yang lemah terhadap ganja, sekali gus menimbulkan persepsi salah dalam kalangan orang awam.
“Golongan muda terutamanya mungkin bertanggapan dadah itu sudah tidak lagi berbahaya berbanding sebelumnya, walaupun wujud bukti kukuh bahawa ia masih berbahaya,” katanya.
Justeru, MHA itu menekankan Singapura tetap dengan pendirian tegas tidak sama sekali akan bertolak ansur terhadap penyalahgunaan dadah.
“Singapura akan terus melaksanakan undang-undang ketat membanteras penyeludupan, pemilikan, penggunaan dan import atau eksport dadah terlarang termasuk ganja, demi melindungi kesihatan dan kebajikan rakyat kami.
“Pada masa sama, kita akan terus membenarkan akses terkawal secara selamat bagi kegunaan ganja untuk perubatan berteraskan rangka kerja ditetapkan bagi pembekalan, rawatan dan pengeluaran dadah secara terkawal di Singapura,” katanya.
Syor untuk mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik berbahaya pertama kali dibuat oleh WHO pada 2019 tetapi tidak mendapat sokongan yang mencukupi. – AGENSI
SUMBER: BERITA HARIAN