LEBIH 2 TAN DADAH BERNILAI RM105.9 JUTA DIRAMPAS

https://www.youtube.com/watch?v=NQo4Ph6Ist0

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mematahkan cubaan menyeludup 2,118 kilogram dadah bernilai RM105.9 juta, di Perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar di sini, 9 Disember lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata dadah jenis methamphetamine itu dirampas dalam bot rekreasi yang dikelolakan jurumudi warga tempatan berusia 26 tahun.

Maritim Malaysia mengesan pergerakan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.30 pagi sebelum mengarahkannya berhenti.

Bagaimanapun, jurumudi bot itu memecut laju sebelum nekad terjun ke laut selepas dikejar anggota Maritim Malaysia selama 30 minit.

“Lelaki itu kemudiannya ditahan di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi manakala bot yang bergerak tanpa pengemudi itu turut dihentikan.

“Pemeriksaan dalam bot terbabit menemui 130 guni berisi 1,998 paket bungkusan teh Cina mengandungi hablur kristal dipercayai methamphetamine,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mohd Zubil berkata, siasatan mendapati suspek bergerak dari Sungai Juru menaiki bot kosong ke Pulau Kendi dan menukarkannya dengan bot berisi dadah sebelum kembali ke Sungai Juru.

Ini adalah kali ketiga suspek membawa bekalan dadah selepas Oktober dan November lalu dengan upah sebanyak RM5,000 bagi setiap penghantaran 500kg.

Bagi penghantaran terakhir ini, suspek diberi upah RM10,000 dan bekalan dipercayai untuk pasaran Indonesia.

“Kita sedang menyiasat bagaimana bot berisi bekalan dadah itu boleh masuk ke negara ini. Mungkin ia ada kaitan dengan rampasan dadah RM10.53 juta di 3.0 batu nautika barat daya Pulau Betong, 3 Disember lalu,” katanya.

Bot rekreasi bersama dua enjin sangkut bernilai RM150,000 yang digunakan suspek dirampas manakala suspek direman selama tujuh hari bermula 10 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SUMBER: BERITA HARIAN

Posted in Uncategorized.