20 INDIVIDU DITAHAN SERTAI PESTA LIAR DAN DADAH DI KONDOMINIUM

KUALA LUMPUR: Polis menahan 20 individu dalam serbuan di dua unit kondominium ketika mereka disyaki sedang leka berpesta liar termasuk menghisap dadah di Jalan Sultan Ismail dekat sini awal pagi tadi.Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam serbuan pertama pada kira-kira 1 pagi di sebuah unit kondominium, polis menahan enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 21 hingga 27 tahun. Beliau berkata pemeriksaan di dalam premis membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah iaitu 2.05 gram ganja, dua pil erimin 5, satu gram ketamin dan sebiji pil ecstasy serta botol plastik disyaki alat untuk menghisap ganja.“Hasil saringan mendapati empat lelaki posititf dadah jenis metamfetamin serta ketamin dan kesemua mereka ditahan reman dua hari untuk siasatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. Mohamad Zainal berkata dalam serbuan kedua di lokasi sama pada kira-kira 2 pagi, 14 lelaki berusia lingkugan 20 hingga 27 tahun ditahan dan pelbagai jenis dadah turut ditemukan.Beliau berkata ujian air kencing mendapati 13 suspek positif dadah jenis metamphetamin, tetrahidrokanabinol, amfetamin serta ketamin dan kesemua mereka ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut.Katanya semakan mendapati kedua-dua unit kondominium disewa pada kadar RM225 dan RM500 sehari dan jemputan untuk menghadiri parti itu dibuat menerusi kenalan serta laman sosial.– BERNAMASUMBER: ASTRO AWANI

Posted in Uncategorized.