AADK SASAR 30 PERATUS PENYALAHGUNA, PENAGIH JALANI PEMULIHAN SUKARELA

KUALA LUMPUR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan kira-kira 30 peratus penyalahguna dan penagih dadah untuk tampil menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela, tahun hadapan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata buat masa ini hanya 19 peratus daripada 4,356 orang yang menjalani rawatan dan pemulihan melakukannya secara sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara.

“Rekod menunjukkan terdapat seramai 142,199 penyalahguna dan penagih dadah di seluruh negara pada 2019 namun hanya 4,356 orang menjalani rawatan dan pemulihan di 30 PUSPEN seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, hanya 19 peratus atau 832 orang menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela di PUSPEN Sungai Besi di sini, hari ini.

Katanya, kajian menunjukkan mereka yang datang secara sukarela akan lebih kekal pulih kerana perkara itu dilakukan atas kehendak mereka sendiri dan lebih bersedia untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.

“Bagi menarik lebih ramai mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah, maka kita buat program ‘make over’ (ubah suai) membabitkan dua perkara iaitu secara infrastruktur pusat pemulihan dengan menjadikan ia lebih kondusif dan lebih sesuai untuk kumpulan yang datang secara sukarela

“Kedua, modul ditambah baik supaya ia lebih sesuai dan berkesan kepada mereka yang datang secara sukarela dengan mengambil kira kedudukan dan keperluan mereka,” katanya.

Zulkifli berkata, modul baharu yang dilancarkan hari ini akan diguna pakai di PUSPEN Sungai Besi dan kemudian akan diperluaskan ke sembilan PUSPEN sukarela yang lain.

Dalam pada itu, katanya penambahbaikan dari sudut perundangan juga turut dibuat dengan AADK mencadangkan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Ini membolehkan individu yang menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela dalam pusat pemulihan memiliki tempoh rawatan yang fleksibel dan tidak dikenakan pengawasan selepas tamat menjalani rawatan dan pemulihan.

“Mereka yang mengikuti program rawatan dan pemulihan secara sukarela adalah individu yang datang sendiri dengan kerelaan hati tanpa sebarang paksaan atau melalui peruntukan undang-undang.

“Oleh itu, pendekatan yang ditambah baik ini adalah berdasarkan kepada keperluan kepulihan dan sesuai dengan keupayaan untuk memulihkan diri daripada masalah penagihan,” katanya.

Katanya, AADK kini memiliki 30 PUSPEN di seluruh negara dan 11 daripadanya menyediakan perkhidmatan untuk kes sukarela.

SUMBER : BERITA HARIAN

Posted in Uncategorized.