918 BANDUAN DADAH TELAH DIHUKUM MATI

KUALA LUMPUR – Seramai 918 banduan bagi kesalahan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya1952 telah dihukum gantung mandatori di negara ini setakat 11 Ogos tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, daripada jumlah itu 472 orang merupakan rakyat Malaysia manakala selebihnya warga asing.

Menurutnya, rakyat warga Nigeria mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu seramai 111 orang yang telah dihukum mati di negara ini.

“Saya tahu masalah kes 39 (B) Akta Dadah Berbahaya ini merupakan satu perkara yang menarik minat atau perhatian seluruh masyarakat lebih lagi daripada rekod yang kita ada bahawa hukuman mati yang telah dijatuhkan setakat ini adalah 918 orang.

“Secara keseluruhan 1,324 banduan telah dihukum mati atas pelbagai kesalahan yang mana sebahagian besar adalah membabitkan 39(B),” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) jumlah banduan 39 (B) telah dihukum mati dan bila kerajaan akan membuat cadangan untuk memansuhkan hukuman itu.

Sementara itu, mengulas soalan tambahan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mengenai kegusaran dengan peningkatan kes banduan 39 (B) yang dihukum gantung mandatori, Takiyuddin berkata, kerajaan memandang serius perkara itu.

Katanya, meskipun kebanyakan kes membabitkan warga asing namun kes membabitkan rakyat Malaysia juga amat membimbangkan.

Posted in Uncategorized.